Nature

RANCANGAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2026-2035

 RANCANGAN PENDIDIKAN MALAYSIA (RPM) 2026-2035


Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 — 2035 ialah rancangan menyeluruh untuk mengubah landskap pendidikan negara. Rancangan ini bertujuan meningkatkan mutu, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan dalam pendidikan. Rancangan ini mengambil kira perubahan dunia yang pantas,memastikan sistem pendidikan kita kekal relevan, dinamik dan luwes. 
    Pendekatan transformatif yang berlandaskan perspektif nasional dan global disasarkan untuk melahirkan individu yang berpandangan luas, mampu berfikir secara kritikal, berdaya tahan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi negara. Strategi yang digariskan didorong oleh kemajuan teknologi, keperluan masyarakat serta perubahan dalam dunia pendidikan dan pekerjaan global. 
    Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) akan memainkan peranan kritikal pada masa hadapan dan murid akan didedahkan atau dilengkapi dengan kemahiran teknologi terkini. Murid juga dapat mengemudi dunia digital ini secara bertanggungjawab, beretika dan berupaya untuk menjadi pengguna teknologi yang bijak dan berhemah. KPM telah meneliti pencapaian, jurang dan cabaran daripada RPM
2013 – 2025. Penilaian berdasarkan rancangan sebelum ini menjadi asas penting untuk membentuk strategi dan prakarsa baharu bagi tempoh 2026 – 2035 agar benar-benar memenuhi harapan pendidikan negara.
    Kepimpinan tertinggi kerajaan dan KPM komited untuk memantau kemajuan, membimbing serta terlibat secara langsung dalam penyelesaian isu pelaksanaan. Bagi menjamin kelestarian transformasi
yang dirancang, KPM akan mengenal pasti dan memupuk bakat pemimpin masa hadapan yang berteraskan nilai dan berwawasan.



    Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 — 2035 menggariskan pelan tindakan yang jelas dan realistik untuk mempertingkat sistem pendidikan secara menyeluruh. Kejayaan rancangan ini bergantung pada
kecekapan semua warga pendidikan bawah KPM melalui peningkatan kapasiti sumber manusia, kecekapan operasi dan tadbir urus. Fungsi dan struktur bahagian-bahagian di Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta institusi pendidikan akan diperkasakan. Tiga pelan pengurusan penting akan dibangunkan, iaitu Pelan Komunikasi Strategik, Pelan Pengurusan Perubahan dan Pelan Pengurusan Risiko untuk menyokong pelaksanaan RPM 2026 – 2035.

Pembangunan RPM 2026 — 2035 melibatkan maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk warga pendidikan, ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan. KPM akan terus menggalakkan pelibatan bermakna semua pihak berkepentingan. Pemantauan berkala akan dijalankan bagi setiap prakarsa untuk memastikan transformasi pendidikan berjalan lancar dan selaras dengan matlamat yang ditetapkan.



Terima kasih
Jom ke Channel Youtube Pak Malau
www.youtube.com/pakmalau

Previous Post Next Post