LIMA TUMPUAN UTAMA RANCANGAN PENDIDIKAN MALAYSIA (RPM) 2026-2035
1. MUTU
Mutu sistem pendidikan merujuk kepada keupayaan dan kesediaan sistem dalam menyediakan peluang dan pengalaman pembelajaran yang terbaik untuk semua murid. Tumpuan penting merangkumi pelbagai aspek seperti kurikulum, pedagogi dan pentaksiran yang bermutu, prasarana fizikal dan digital yang kondusif serta menyokong PdP, pengurusan dan tadbir urus yang cekap serta sistem sokongan holistik untuk perkembangan murid. Oleh itu, mutu pendidikan perlu terus diperkukuh secara berterusan untuk meningkatkan keberhasilan setiap murid.
Aspirasi untuk memastikan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan bermutu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan - Pendidikan Bermutu (SDG4), iaitu “memastikan pendidikan
yang terangkum dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua”. Bagi merealisasikan aspirasi ini, sistem pendidikan negara perlu mencapai tahap mutu yang
setanding dengan sistem pendidikan berprestasi tinggi pada peringkat global.
Prestasi Malaysia dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2022 dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) masih di bawah purata antarabangsa. Oleh itu,
usaha memperkukuh mutu sistem pendidikan perlu menjadi keutamaan. Sasaran KPM adalah untuk mencapai purata skor antarabangsa dalam pentaksiran TIMSS dan PISA.
Pencapaian murid dalam SPM, khususnya dalam mata pelajaran teras turut menjadi keutamaan sebagai petunjuk mutu sistem. Meskipun calon layak menerima sijil SPM telah pun meningkat, usaha untuk
meningkatkan peratusan murid yang mencapai sekurang-kurangnya gred kepujian dalam SPM masih perlu diperkukuh.
Taraf mutu institusi pendidikan di Malaysia secara umumnya berada pada tahap baik dengan pelbagai usaha penambahbaikan berterusan oleh KPM untuk memastikan standard yang setara dengan amalan
antarabangsa. Pelbagai mekanisme penilaian seperti akreditasi, audit institusi, pemantauan pencapaian murid dan penilaian berasaskan kompetensi guru dilaksanakan. Walau bagaimanapun, terdapat
keperluan untuk terus memperkukuh konsistensi pelaksanaan di lapangan bagi meningkatkan kapasiti pendidik dan memperkukuh pembuatan keputusan berasaskan data dan bukti seterusnya memastikan setiap institusi mencapai tahap kecemerlangan yang mampan dan terangkum.
2. AKSES DAN EKUITI
Akses dan ekuiti merangkumi dua aspek utama, iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan bermutu serta menjamin peluang pendidikan yang setara dan adil bagi setiap individu. Konsep kesaksamaan dan kesetaraan ini menegaskan bahawa setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat pendidikan bermutu, tanpa mengira latar belakang sosial, ekonomi, geografi dan ketidakupayaan.
Malaysia telah mencapai kadar penyertaan yang tinggi bagi pendidikan rendah dan menengah. Namun, tumpuan kini beralih kepada usaha memperluas akses pendidikan bermutu pada peringkat prasekolah. Usaha ini selaras dengan sasaran 4.2 dalam SDG4 yang menekankan keperluan memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan awal dan prasekolah yang bermutu. Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan negara berhasrat memastikan penyertaan sejagat dari peringkat prasekolah hingga menengah atas. Antara prakarsa utama termasuklah memperkukuh pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak berumur lima tahun dan disokong oleh Kurikulum Prasekolah 2026
untuk merapatkan jurang pembelajaran dengan memastikan pendidikan wajib prasekolah dilaksanakan seperti dalam RMK13.
3. KETERSEDIAAN SUMBER DAN KECEKAPAN
Ketersediaan sumber dan kecekapan melibatkan kesediaan dan akses murid serta pendidik terhadap pelbagai jenis bahan pengajaran dan pembelajaran, di samping keupayaan sistem menggunakan sumber
sedia ada dengan cekap.
Ketersediaan sumber merujuk kepada penyediaan prasarana fizikal dan digital yang berfungsi, bahan pengajaran dan peralatan bersesuaian untuk mewujudkan iklim pembelajaran kondusif, sejajar dengan
kurikulum abad ke-21. Berdasarkan Laporan Bank Dunia (Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills, 2024), bekalan sumber manusia (terutama pendidik terlatih) dan sumber kewangan
yang mencukupi berperanan penting dalam aktiviti perkembangan murid.
Kecekapan pula ialah kemampuan sistem pendidikan untuk memanfaatkan sumber secara berkesan dan efisien bagi mencapai hasil yang diingini. Tumpuan ini merangkumi tadbir urus yang cekap, penyampaian pendidikan yang bermutu dan penambahbaikan berterusan dalam proses PdP.
Oleh itu, kecekapan dan ketersediaan sumber perlu dilihat sebagai aspek yang saling melengkapi. Sistem yang cekap memerlukan sumber yang mencukupi dan relevan, manakala sumber yang tersedia hanya akan memberikan impak jika dimanfaatkan dengan berkesan.
Selain sumber kewangan, kepakaran, kemudahan fizikal dan sokongan teknikal adalah penting sebagai asas keupayaan sistem. Penilaian kecekapan sistem pendidikan juga perlu menekankan pulangan hasil
dan nilai daripada pelaburan pendidikan. Meskipun sistem pendidikan Malaysia menerima peruntukan yang tinggi secara konsisten, peningkatan keberhasilan murid masih belum sepadan dengan sumber
yang disalurkan. Oleh itu, tumpuan kepada keberkesanan perbelanjaan perlu menekankan penggunaan sumber dan pelaburan yang memberikan pulangan maksimum kepada murid melalui penyampaian
prakarsa pendidikan yang tepat pada masanya.
4. KELUWESAN
Keluwesan menekankan keupayaan sistem pendidikan untuk menyesuaikan pendekatan pedagogi mengikut keperluan dan keupayaan murid, persekitaran pembelajaran yang dinamik serta perkembangan teknologi. Pendekatan pembelajaran yang lebih terangkum dan berpusatkan murid memberikan peluang kepada setiap murid mendalami bidang pembelajaran berdasarkan minat, kebolehan dan kecenderungan masing-masing. Keluwesan juga merangkumi keanjalan dalam tadbir urus pendidikan bagi meningkatkan kecekapan, akauntabiliti dan integriti dalam penyampaian pendidikan.
Tumpuan ini memastikan sistem pendidikan mampu bertindak balas secara adaptif terhadap perubahan keperluan murid, kepelbagaian konteks setempat dan tuntutan landskap global yang sentiasa berubah. Pada masa yang sama, keluwesan memperkukuh pemberdayaan sistem untuk membuat keputusan
secara kontekstual dan memperkasa pelaksana di peringkat akar umbi. Oleh itu, bermutu merupakan asas penting untuk memastikan sistem pendidikan kekal relevan, tangkas dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
5. KEMAMPANAN
Kemampanan memberikan tumpuan kepada usaha memelihara dan melestarikan sistem pendidikan agar kekal relevan, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan. Kemampanan merupakan teras baharu dalam RPM 2026 — 2035 yang menekankan pembudayaan kemampanan, merangkumi dimensi alam sekitar, sosial dan ekonomi dalam ekosistem pendidikan. Penekanan ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan pembangunan bakat yang berdaya saing, beretika dan berorientasikan masa hadapan.
Oleh itu, warga pendidikan perlu dilengkapi dengan kesedaran, pengetahuan dan keupayaan untuk bertindak secara bertanggungjawab terhadap isu kemampanan pada peringkat tempatan dan global. Pembudayaan amalan kemampanan ini akan diintegrasikan melalui pendekatan holistik di semua institusi pendidikan KPM. Manfaat pendidikan dapat dinikmati secara adil oleh generasi kini dan akan datang untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat dan kelestarian bumi.

.jpg)

