Nature

PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA

PENDEKATAN PENGAJARAN BAHASA

Induktif, Deduktif, Eklektik, Komunikati

pak malau

Pendekatan yang sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah:
Pendekatan Induktif
Pendekatan Deduktif
Pendekatan Eklektik
Pendekatan Komunikatif

Pendekatan Induktif mempunyai tanggapan bahawa mempelajari sesuatu itu ialah untuk mendapat hukumnya yang dibentuk melalui pengumpulan maklumat.  Tugas dan tanggungjawab guru ialah memperkenalkan pengetahuan dan memberi pengalaman.
Konsep Pendekatan Deduktif menekankan mempelajari sesuatu berdasarkan hukum. Oleh itu pengajaran dimulai dengan memberi generalisasi, kesimpulan, undang-undang dan isi kandungan.
Gabungan Pendekatan Induktif dan Pendekatan Deduktif menghasilkan Pendekatan Eklektik. Berdasarkan pendekatan ini, guru perlu kreatif dan menggunakan pelbagai kaedah dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. 

1. Pendekatan Induktif

Pendekatan induktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan seseorang murid melaksanakan proses penaakulan yang tinggi. Dalam proses penaakulan, murid tidak diajar secara langsung,bahan pengajaran bagi subjek berkenaan tetapi mereka diberi galakan  mencari, meneliti dan mempelajarinya sendiri. Kemudiannya, mereka dikehendaki mengemukakan satu rumusan hasil daripada kajian yang telah dilakukan oleh mereka.  
Sehubungan dengannya, guru memungut dan mengumpul contoh-contoh tertentu daripada teks, menunjukkan dan menerangkan bagaimana ia bekerja dan berfungsi membantu murid-murid untuk merumuskan satu kesimpulan yang sesuai. Ringkasnya pendekatan ini menggunakan kaedah pencarian atau penemuan yang melibatkan proses memerhati, meneliti, mengkaji, menganalisis sesuatu aspek bahasa itu pada awal pembelajaran dan kemudian dikaitkan dengan satu kesimpulan umum daripada data-data yang dipelajari. Antara lain murid-murid dikehendaki:
a.         memberi definisi kepada sesuatu konsep
b.         menerangkan peraturan-peraturan
c.         menerangkan isi kandungan keseluruhan pelajaran yang hendak disampaikan
d.         memberitahu objektif pengajaran pada awal pengajaran
Selain itu, guru boleh mengemukakan soalan, bertanya, berbincang, memerhati, mengkaji dan memberi contoh-contoh tertentu. Guru kemudiannya membuat rumusan tertentu mengenainya.

2. Pendekatan Deduktif

Peringkat pendekatan deduktif

Peringkat  awal generalisasi
Peringkat ini, guru sebaik-baiknya tidak mendedahkan perkara yang hendak diajarkan, menegas tujuan pengajaran, memberi tajuk pelajaran dan memberi rangka kasar seluruh idea.

Peringkat  mengemukakan generalisasi
Peringkat ini, guru membuat generalisasi dalam langkah pertama pengajaran dengan cara memberi penerangan yang jelas mengenai peraturan, rumus-rumus tatabahasa dan pengertian yang berbentuk hukum tertentu.  Dalam hal ini seseorang guru boleh menggunakan carta dan gambar rajah tertentu yang difikirkan sesuai dan boleh membantu murid-murid memahami struktur isi sesuatu mata pelajaran.

Peringkat  menganalisis konsep
Sebaik-baiknya sesuatu konsep dianalisis dalam dalam langkah kedua pengajaran dengan memberi contoh-contoh diikuti dalam langkah ketiga dan berikutnya. Guru perlu menggunakan teknik dan  bahan bantu belajar yang sesuai untuk merancang  dan melaksanakan pelbagai aktiviti dalam situasi pembelajaran tertentu bagi tujuan meningkatkan pemahaman murid terhadap isi pelajaran yang disampaikan.
 
Peringkat  membuat generalisasi
Generalisasi mengenai sesuatu boleh dilakukan dalam aktiviti gerak kerja kumpulan sama ada secara bertulis atau latihan tertentu bagi tujuan menggambarkan penguasaan kebolehan dan kemahiran murid mengenai subjek yang dipelajari.

Peringkat penutup
Peringkat ini guru membuat kesimpulan mengenai sesuatu konsep, peraturan dan hukum tertentu. Selebihnya guru memberi beberapa aktiviti dan latihan tambahan sebagai aktiviti pengukuhan.

3. Pendekatan Eklektik

 Ciri-ciri Pendekatan eklektik, antara lain:
merupakan satu cara mengajar menggunakan pelbagai kaedah, yakni tidak terikat kepada atu kaedah mengajar sahaja;
guru boleh menggunakan usaha dan daya kreativiti sendiri;
guru juga boleh mengajar mengikut kebolehan dan kemampuan murid-muridnya. Misalnya, peringkat asas pengajaran dilaksanakan latihan mendengar dan kemudiannya diikuti pula dengan latihan bertutur, membaca dan menulis;
murid-murid, selain boleh menggunakan bahasa secara aktif,  boleh pula berfikir secara langsung dengan menggunakan bahasa yang dipelajarinya;
pendekatan ini memerlukan latihan yang banyak dan murid diberi peluang mempraktiskan pengetahuan dan kemahiran berbahasa secara meluas.

4. Pendekatan Komunikatif

Secara umum, pendekatan ini member fokus khusus kepada murid. Hal ini kerana manusia perlu berkomunikasi untuk sama ada secara interpersonal atau intrapersonal bagi tujuan memenuhi keperluan dan kehendaknya. Antara lain manusia berkomunikasi untuk menyatakan perasaan dan emosi, mencipta imaginasi, memperoleh barangan dan perkhidmatan, bertukar pandangan, memperoleh dan menyampaikan maklumat.
Prinsip asas pendekatan komunikatif ini ialah murid mengetahui dan memahami tujuan melaksanakan aktiviti tertentu dalam proses pembelajarannya. Proses pengajaran bahasa dilaksanakan dalam konteks wacana mengikuti proses komunikasi sebenar.  Berikut merupakan ciri-ciri penting pendekatan komunikatif:
makna sangat dipentingkan;
dialog jika digunakan terarah kepada proses komunikatif bukan untuk tujuan hafalan;
konteks dan situasi komunitif sangat diberi keutamaan;
pembelajaran bahasa berfokus kepada keperluan belajar untuk berkomunikasi;
latih tubi perlu tetapi bukan keutamaan;
pengucapan bahasa perlu sekadar untuk difahami sahaja;
bahan bantu mengajar perlu sesuai mengikut tahap umur dan kemahiran murid-murid. Bahan bantu mengajar berfungsi sebagai dorongan kepada murid-murid untuk belajar;
murid-murid digalakkan menyampaikan idea secara lisan (bertutur);
terjemahan boleh digunakan, asal saja murid-murid memperoleh manfaat daripadanya;
kebolehan berkomunikasi merupakan matlamat khusus pembelajaran. Maka, kelancaran bahasa diadili bukan dalam abstrak sebaliknya dalam konteksnya.




Terima kasih
Jom ke Channel Youtube Pak Malau
www.youtube.com/pakmalau

Previous Post Next Post